Terbuka Singapura: Tze Yong, Soon Huat-Shevon mara ke pusingan kedua

Bernama
Jun 7, 2023 20:35 MYT
Perseorangan badminton lelaki negara Ng Tze Yong melepasi pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2023 hari ini, selepas mengetepikan cabaran pemain Ireland. - Foto Facebook BAM
KUALA LUMPUR: Perseorangan badminton lelaki negara Ng Tze Yong melepasi pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2023 hari ini, selepas mengetepikan cabaran pemain Ireland.
Pada pusingan pembukaan di Stadium Tertutup Singapura, Tze Yong dipaksa bermandi peluh sebelum menewaskan atlet kelahiran Vietnam, Nhat Nguyen 21-17, 18-21 dan 21-15 dalam pertarungan 82 minit.
Tze Yong dijadualkan membuat perhitungan menentang wakil Thailand, Kunlavut Vitidsarn selaku pilihan ketujuh kejohanan yang mara selepas menewaskan Wang Tzu Wei dari Taiwan, 21-15, 14-21 dan 28-26.
Turut mara beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang menundukkan gandingan ke-10 dunia dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati.
Soon Huat-Shevon yang berada dalam ranking ke-17 dunia, terdahulu kalah 15-21 pada set pertama sebelum bangkit dengan kemenangan 21-18 di set kedua dan 21-14 di set penentuan.
Menanti beregu negara di pusingan kedua adalah pasangan Hong Kong, Lee Chun Hei Reginald-Ng Tsz Yau, yang menang ke atas wakil Scotland, Adam Hall-Julie Macpherson, 21-14, 17-21 dan 21-11.
Hasrat melihat satu lagi beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing meneruskan cabaran negara di pusingan kedua bagaimanapun tidak kesampaian, selepas mereka tewas kepada beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun, 12-21, 21-14 dan 10-21 dalam perlawanan 51 minit.
-- BERNAMA
#Terbuka Singapura #Ng Tze Yong #pusingan kedua #badminton
;