Terbuka Singapura 2023: Aaron-Wooi Yik bermula langkah kanan
Bernama
Jun 6, 2023 05:45 MYT
Jun 6, 2023 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya melepasi cabaran beregu China, untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua beregu lelaki kejohanan badminton Terbuka Singapura 2023 semalam.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Singapore Indoor Stadium, Singapura, gandingan nombor satu negara itu menumbangkan He Ji Ting-Zhou Hao Dong 21-16, 21-17 dalam pertarungan selama 37 minit.
Aaron-Wooi Yik yang merupakan beregu di ranking keempat dunia sebelum ini pernah mengetepikan pasangan China di kedudukan ke-14 dunia itu pada Kejohanan Badminton Asia 2022 namun tewas pada pertemuan kedua di Masters Indonesia 2023 Januari lepas.
Gandingan negara yang menjadi pilihan ketiga perlawanan itu akan membuat perhitungan menentang sama ada pasangan Indonesia Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana atau pasangan Taiwan Lee Yang-Wang Chi-Lin yang akan berentap bagi pusingan pertama hari ini.
Sementara itu beregu lelaki meningkat naik negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun diberikan kemenangan percuma selepas gandingan Jerman Mark Lamsfuss-Marvin Seidil menarik diri daripada perlawanan selepas Mark mengalami kecederaan lutut.
Pemenang pingat perak Masters Malaysia 2023 itu dijangka membuat perhitungan pusingan kedua bertemu sama ada gandingan China Liang Wei Keng-Wang Chang atau pasangan Denmark Jeppe Bay-Lasse Molhede yang bertemu dalam satu lagi perlawanan pusingan pertama hari ini.
Berbeza nasib beregu wanita negara Vivian Hoo-Lim Chiew Sien pula ditunjukkan jalan keluar awal apabila gagal menyaingi kehebatan pencabar dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota yang menyaksikan mereka tewas 12-21,14-21 dalam tempoh 41 minit.
-- BERNAMA