Terbuka Perancis: Pearly-Thinaah singkir juara Terbuka Malaysia

Bernama
Oktober 25, 2022 00:08 MYT
Pearly-Thinaah yang merupakan pasangan bukan pilihan menumpaskan beregu pilihan ketujuh itu, 22-20, 19-21, 21-7 dalam pertarungan rubber set selama 74 minit yang diadakan di Stade Pierre de Coubertin, Paris. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah melakar kejutan apabila menyingkirkan juara bertahan Terbuka Malaysia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia pada pusingan pembukaan Terbuka Perancis 2022, hari ini.
Pearly-Thinaah yang merupakan pasangan bukan pilihan menumpaskan beregu pilihan ketujuh itu, 22-20, 19-21, 21-7 dalam pertarungan rubber set selama 74 minit yang diadakan di Stade Pierre de Coubertin, Paris.
Pasangan Malaysia yang menduduki ranking ke-11 dunia itu seterusnya akan berdepan satu lagi gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi, yang menewaskan Stine Kuespert-Emma Moszczynski dari Jerman, 18-21, 21-9, 21-13.
Sementara itu, pasangan beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mara ke pusingan kedua apabila menumbangkan pasangan China, Guo Xin Wa-Zhang Shu Xian, 8-21, 22-20, 24-22.
Kian Meng-Pei Jing, gandingan pilihan kelapan kejohanan, akan menentang Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo dari Jepun untuk menentukan tempat ke suku akhir.
Kaneko-Matsutomo sebelum itu telah menafikan pertembungan sesama wakil Malaysia selepas menewaskan Chan Peng Soon-Cheah Yee See, 21-18, 21-17.
-- BERNAMA
#Terbuka Perancis #beregu wanita utama negara #Pearly Tan-M Thinaah #Indonesia
;