Terbuka Perancis: Pearly-Thinaah mara ke suku akhir
Bernama
Oktober 27, 2022 23:36 MYT
Oktober 27, 2022 23:36 MYT
KUALA LUMPUR: Beregu badminton wanita utama negara Pearly Tan-M.Thinaah terus mempamerkan aksi cemerlang apabila melangkah ke pusingan suku akhir saingan Terbuka Perancis 2022, di Stade Pierre de Coubertin, Paris, pada Khamis.
Pearly-Thinaah mudah menundukkan gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi dengan kemenangan straight set 21-16, 21-14.
Pearly-Thinaah yang merupakan pasangan bukan pilihan mencipta kejutan pada Selasa apabila menyingkirkan juara bertahan Terbuka Malaysia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia pada pusingan pembukaan.
Beregu negara di ranking ke-11 dunia itu akan berdepan pilihan ketiga kejohanan dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida yang menewaskan beregu Denmark, Alexandra Boje-Amalie Magelund 21-18, 21-7 dalam satu lagi aksi pusingan kedua.
Dalam perkembangan lain, perseorangan remaja lelaki negara Justin Hoh gagal melangkah ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2022 di Sepanyol.
Pemain pilihan ketiga kejohanan itu tewas mengejut di tangan pemain Korea Selatan, Kim Byung-jae 17-21, 19-21 pada perlawanan yang berlangsung di Palacio de Deportes de Santander itu.
-- BERNAMA