Terbuka Perancis: Kemenangan Djokovic catat sejarah istimewa

Agensi
Jun 6, 2016 08:55 MYT
Djokovic mencatatkan sejarah tersendiri dengan kemenangannya pada Ahad. - Foto AFP
Novac Djokovic mencatatkan banyak rekod sejarah pada Ahad selepas menundukkan Andy Murray 3-6, 6-1, 6-2, 6-4, dalam perlawanan akhir Terbuka Perancis.
Antaranya, beliau menjadi pemain pertama selepas Rod Laver pada tahun 1969 untuk memenangi kesemua empat gelaran Grand Slam, selain menjadikannya pemain pertama yang menjuarai dua gelaran utama semusim sejak kali akhir dilakukan Jim Courier pada 1992.
Bintang tenis asal Serbia itu, khususnya dalam dua musim lalu, tidak pernah menyembunyikan kepada umum betapa dia ingin memenangi kejohanan perdana di gelanggang tanah liat.
Sebelum ini beliau telah kalah dalam tiga perlawanan akhir, termasuk kepada Stan Wawrinka tahun lalu.
Ketika Murray membalas pukulan backhand namun bola terkandas di jaring, untuk mata perlawanan ketiga, Djokovic tidak dapat mengawal reaksi kemenangan dengan jatuh terbaring di gelanggang itu kerana akhirnya trofi Coupe des Mousquetaires menjadi miliknya.
Penonton di gelanggang Philippe Chatrier bersorak untuknya. Tidak pernah dalam sebarang perlawanan akhir Grand Slam, Djokovic begitu disukai ramai.
“Saya merasakan sokongan dan kasih sayang daripada orang di sekeliling saya hingga melayakkan saya beerada di sini menjulang trofi. Sokongan seperti itu sangat dirasai di stadium hari ini,” ujar Djokovic.
#Andy Murray #berita sukan #Grand Slam #Novak Djokovic #tenis #Terbuka Perancis
;