Terbuka Perancis: Juara bertahan, Wawrinka terus mara

Agensi
Mei 26, 2016 10:27 MYT
Stanislas Wawrinka (gambar) turun dengan misi bagi mempertahankan kemenangan yang diperolehinya pada tahun lalu, selain memburu gelaran Grand Slam pertamanya tahun ini. - Foto AFP / PHILIPPE LOPEZ
Juara bertahan, Stanislas Wawrinka berjaya mara ke pusingan ketiga selepas menewaskan Taro Daniel dalam aksi straight sets.
Sementara, Andy Murray pula terpaksa bermain lima set untuk memastikan kemaraan lebih jauh dalam kejohanan kali ini.
Masih segar dengan kemenangan di Terbuka Itali baru-baru ini, Andy Murray nyata tidak diberikan laluan mudah oleh pemain muda Perancis, Mathias Bourgue.
Awal permainan Murray melaungkan amaran bahawa permainan ini akan berakhir tanpa tentangan sengit apabila mudah menang 6-2.
Bagaimanapun, jangkaan itu meleset apabila lawan yang berada di ranking 164 merampas dua set berikutnya, untuk kedudukan 2-1 memihak Bourgue.
Enggan membiarkan situasi ini berlarutan, murray bangkit mengheret perlawanan ke set penentuan.
Dan pengalaman yang ada pada Murray menjadi pemisah untuk dia menang dengan keputusan penuh 6-2, 2-6, 4-6, 6-2, 6-3.
Selaku pilihan ketiga kejohanan, Stanislas Wawrinka turun dengan misi bagi mempertahankan kemenangan yang diperolehinya pada tahun lalu, selain memburu gelaran Grand Slam pertamanya tahun ini.
Walaupun menerima tentangan sengit Daniel pada set pertama, namun dua set milik Wawrinka untuk dia menang dengan keputusan 7-6, 6-3, 6-4.
#Paris #Roland Garros #Stanislas Wawrinka #Taro Daniel #Terbuka Perancis
;