Terbuka Perancis: Gauff atasi Stephens untuk ke separuh akhir kali pertama
Astro Arena
Jun 1, 2022 09:45 MYT
Jun 1, 2022 09:45 MYT
COCO Gauff mara ke separuh akhir kejohanan grand slam buat kali pertama selepas menewaskan rakan senegaranya dari Amerika Syarikat (AS), Sloane Stephens, dalam Kejohanan Tenis Terbuka Perancis malam tadi.
Pemain remaja itu seterusnya akan menghadapi pemain bukan pilihan, Martina Trevisan, untuk merebut tempat ke final selepas melakarkan kemenangan 7-5, 6-2 di Roland Garros.
Ketenangan yang dimiliki pemain berusia 18 tahun itu juga menyaksikan dia masih belum melepaskan sebarang set di Paris dan dia menghasilkan satu lagi aksi menarik di Gelanggang Phillipe-Chatrier.
Pemain pilihan kelapan itu memanfaatkan sepenuhnya aksi agresif yang dimilikinya untuk mematahkan servis Stephens sebanyak enam kali sebelum lawan berkenaan, yang kelihatan terlalu pasif sepanjang perlawanan, terpaksa akur membenarkan kemenangan Gauff selepas lebih 90 minit pertarungan.
Dengan kemenangan itu, Gauff menjadi pemain wanita kelima layak ke separuh akhir di Roland Garros pada usia bawah 19 tahun sepanjang abad ini.
Berdasarkan aksi yang ditampilkannya, dia juga berada di kedudukan terbaik untuk mencipta satu lagi sejarah dengan melayakkan diri ke final kejohanan utama buat kali pertama sepanjang kariernya.