Terbuka Perancis: Djokovic bangkit cipta sejarah dengan gelaran kedua
Astro Arena
Jun 14, 2021 10:12 MYT
Jun 14, 2021 10:12 MYT
NOVAK Djokovic mencipta sejarah apabila bangkit daripada ketinggalan dua set untuk menewaskan Stefanos Tsitsipas dalam final Kejohanan Tenis Terbuka Perancis awal pagi tadi.
Tsitsipas pada awalnya kelihatan berada di landasan terbaik untuk menjadi pemain Greece pertama memenangi kejohanan utama tetapi pemain legenda yang juga pilihan utama, Djokovic, mempamerkan kebangkitan gemilang untuk memperoleh kemenangan 6-7, 2-6, 6-3, 6-2, 6-4 di Roland Garros.
Ia bermakna pemain nombor satu dunia itu turut memahat sejarah di Gelanggang Philipe-Chatrier sebagai individu pertama dalam era terbuka -- yang ketiga sepanjang zaman -- memenangi sekurang-kurangnya dua gelaran dalam setiap kejohanan grand slam.
Djokovic sebelum ini tidak pernah memenangi kejohanan utama selepas ketinggalan dua set tetapi dia kini hanya ketinggalan satu gelaran untuk menyamai rekod 20 kejuaraan grand slam milik Roger Federer dan Rafael Nadal, yang ditewaskannya dalam aksi epik separuh akhir kelmarin.
Tsitsipas pula kelihatan terganggu dengan kecederaan pinggulnya dan terpaksa menelan hakikat masih gagal memperoleh kejuaraan grand slam pertama susulan kekalahan itu.