Terbuka Perancis 2020: Pertembungan sengit Nadal dan Djokovic

Syafik Shukri Jalil
Oktober 11, 2020 15:43 MYT
Pertemuan ke-56 antara dua jaguh ini bakal menyaksikan mampukah Nadal, 34, menyamakan rekod kemenangan Grand Slam dengan Federer. FOTO: REUTERS
KUALA LUMPUR: Semalam dunia menyaksikan bintang muda Poland, Iga Swiatek berjaya mengetepikan Sofia Kenin dari Amerika Syarikat untuk merangkul trofi Grand Slam pertamanya menerusi Terbuka Perancis 2020.
Malam ini pula, peminat sukan terutama tenis bakal menyaksikan pertembungan dua legenda terkemuka dunia iaitu Rafael Nadal dari Sepanyol dengan Novak Djokovic (Serbia).
Djokovic ketika ini berada di ranking pertama dunia manakala Nadal (kedua).
Setakat ini, Roger Federer masih mendominasi bilangan trofi Grand Slam dalam Open Era dengan 20 kemenangan, manakala Nadal dan Djokovic masing-masing dengan 19 dan 17 kemenangan.
Bagaimanapun, Federer tidak beraksi pada kejohanan kali ini selepas menjalani pembedahan lutut kanan baru-baru ini.
Pertemuan ke-56 antara dua jaguh ini bakal menyaksikan mampukah Nadal, 34, menyamakan rekod kemenangan Grand Slam dengan Federer.
Ia juga bakal menyaksikan mampukah Djokovic, 33, mencatat kemenangan ke-30 sepanjang pertemuan dengan Nadal sekali gus mencatat kemenangan kedua di gelanggang tanah liat yang selama ini menjadi 'makanan' Nadal dengan 12 trofi setakat ini.
Kali terakhir Djokovic memenangi kejohanan Terbuka Perancis adalah pada 2016 menentang Andy Murray.
Menerusi sidang media selepas pertembungan separuh akhir dengan bintang Greece Stafanos Tsitsipas, Djokovic berkata Nadal sememangnya pencabar terbesar buat dirinya lebih-lebih lagi ketika beraksi di gelanggang tanah liat.
“Dia merupakan pesaing utama saya sepanjang kami beraksi bersama, saya merasakan bahawa ketika ini apa yang perlu kami lakukan adalah menghormati antara satu sama lain.
“Selain itu, kami juga perlu beraksi dengan cemerlang untuk menang ke atas satu sama lain kerana kami tahu kekuatan dan kelemahan masing-masing,” tambahnya.
Bagi Nadal pula, berhadapan dengan Djokovic memerlukan dia beraksi di tahap terbaik walaupun pertemuan malam ini banyak memihak kepadanya.
“Satu perkara yang perlu anda lakukan ketika beraksi menentang Djokovic adalah anda perlu bermain dengan cemerlang.
“Sekiranya tidak, laluan meraih kemenangan akan menjadi sukar walaupun saya sudah selesa bermain di gelanggang ini buat sekian lama,” katanya ketika sidang media pada aksi separuh akhir selepas berjaya menundukkan Diego Schwartzman denngan straight set 6-3, 6-3 dan 7-6.
#Grand Slam #Roland Garros #Terbuka Perancis #Novak Djokovic #Rafael Nadal #Roger Federer #Iga Swiatek #Sofia Kenin #sepanyol #Serbia #Swizerland
;