Terbuka Miami: Swiatek kian sensasi tambah gelaran
Astro Arena
April 3, 2022 11:30 MYT
April 3, 2022 11:30 MYT
MIAMI: Iga Swiatek makin sensasi selepas menundukkan Naomi Osaka dalam perlawanan akhir Terbuka Miami dan mengharapkan ia akan menjadi satu permulaan hebat buatnya.
Kemenangan 6-4, 6-0 menyaksikan pemain nombor satu WTA yang baharu ditabalkan itu telah memenangi tiga kejuaraan WTA 1000 berturut-turut untuk muncul pemain pertama yang melakukannya pada awal musim.
Kejayaan awal pagi tadi itu mengesahkan satu lagi kejuaraan buat bintang berusia 20 tahun tersebut selepas merangkul gelaran Indian Wells.
Dia juga menjadi pemain termuda untuk mencapai kejayaan sedemikian dan merupakan pemain keempat dalam sejarah selepas Steffi Graf melakukannya dua kali selain Kim Clijsters dan Victoria Azarenka.
Bercakap mengenai pencabarnya dari Jepun itu, Swiatek berkata: "Saya ingin mengatakan bahawa saya cukup gembira kami dapat beraksi dalam perlawanan ini dan saya harap ia akan mencipta satu perseteruan yang sengit.
"Anda telah mencetuskan inspirasi dan sukan ini menjadi lebih baik dengan kehadiran anda, jadi teruskan perjuangan anda."
Sementara itu, Osaka tidak begitu kecewa dengan kekalahan final ini tatkala dia sedang membina keyakinan selepas dikritik hebat gara-gara prestasi tidak menentunya sejak Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu.
“Saya harap saya boleh terus bekerja keras dan mendapat lebih banyak peluang untuk berada dalam situasi seperti ini lagi,” katanya pula.
"Hanya untuk berada dalam final sudah cukup bermakna buat saya."