Terbuka Miami: Kvitova bergelar juara sekat hajat 'Sunshine Double' Rybakina

Astro Arena
April 2, 2023 11:15 MYT
Juara grand slam dua kali berusia 33 tahun itu menjadi pemain kedua tertua bergelar juara di Miami. - Foto AP
PERJALANAN luar biasa Elena Rybakina di Amerika Syarikat ditamatkan oleh Petra Kvitova, yang meraih kemenangan 7-6, 6-2 dalam final Kejohanan Tenis Terbuka Miami awal pagi tadi.
Juara grand slam dua kali berusia 33 tahun itu menjadi pemain kedua tertua bergelar juara di Miami dengan menafikan hajat jaguh muda, Rybakina, untuk memenangi 'Sunshine Double'.
Rybakina mencuri tumpuan selepas muncul juara Terbuka Indian Wells minggu lalu tetapi dia tidak dapat meneruskan rentak cemerlangnya dalam pertemuan kali ini.
Selepas memenangi set pertama yang ditamatkan setelah penentuan tie-break panjang, Kvitova menggunakan momentum itu dalam set kedua, di mana dia mendahului 5-2 sebelum memenangi kejuaraan itu apabila pukulan terus Rybakina terkeluar daripada gelanggang.
Dengan kemenangan itu, Kvitova menyamai pencapaian Simona Halep selaku pemain ketiga terbanyak memenangi Kejohanan WTA 1000 (sembilan kali) di belakang Victoria Azarenka (10) dan Serena Williams (13).
Dia juga menjadi pemain wanita kedua memenangi gelaran itu pada usia melebihi 33 tahun selepas Williams melakukan perkara sama pada 2015. - Stadium Astro
#terbuka miami #Petra Kvitova #Sunshine Double #elena rybakina
;