Terbuka Malaysia: Zii Jia ketuai lima wakil negara ke pusingan kedua
Bernama
Jun 29, 2022 22:18 MYT
Jun 29, 2022 22:18 MYT
KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia mengetuai lima daripada 11 wakil negara yang meneruskan cabaran ke pusingan kedua esok selepas selesai saingan pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, hari ini.
Saingan di Arena Axiata Bukit Jalil, menyaksikan Zii Jia, pemain nombor lima dunia, hanya memerlukan masa 47 minit untuk meneruskan kemaraan apabila dengan mudah mengatasi pemain Ireland, Nhat Nguen, 21-15, 21-11 pada aksi pusingan pertama.
Pada penampilan pertama Terbuka Malaysia, Zii Jia akan berdepan dengan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito, bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.
Bagaimanapun, pemain perseorangan lelaki muda negara, Ng Tze Yong, gagal melepasi halangan pertama selepas berhempas pulas sebelum tunduk kepada pemain China, Lu Guang Zu, 16-21, 23-21, 18-21.
Dalam acara beregu lelaki, cabaran negara akan digalas oleh pasangan nomber satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selepas menundukkan beregu Jepun, Akira Koga-Taichi Saito, 21-18, 21-19 sebelum menentang wakil Singapura, Terry Hee Yong Kai-Loh Kean Hean, esok.
Beregu lelaki profesional negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Lim Khim Wah, gagal mengekalkan rentak kemenangan set pertama 21-15 sebelum tewas 14-21, 13-21 pada pertarungan 'rubber-set' kepada wakil Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren.
Dalam acara wanita, beregu utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, turut mara ke pusingan kedua selepas menumpaskan pasangan China, Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting, 22-20, 21-13 sebelum berdepan satu lagi beregu China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu, dalam misi memburu slot suku akhir.
-- BERNAMA