Terbuka Malaysia: Sudah tiba masa rangka strategi atasi Won Ho-Na Eun - Watanabe

Bernama
Januari 13, 2024 22:25 MYT
Watanabe berharap dapat mencipta strategi yang lebih baik supaya dia dan Higashino akhirnya dapat mengecapi kemenangan ke atas pilihan ketujuh Won Ho-Na Eun setelah tewas dalam tiga pertemuan sebelum ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino bersemangat untuk menamatkan rentak tanpa kemenangan menentang wakil Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun dan menjulang gelaran pertama Terbuka Malaysia pada final esok.
Gandingan nombor dua dunia dan pilihan kedua itu terpaksa berhempas pulas untuk menang 21-15, 12-21, 21-15 ke atas pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dalam separuh akhir hari ini untuk melangkah ke final Terbuka Malaysia kedua berturut-turut di Axiata Arena di sini.
Watanabe berharap dapat mencipta strategi yang lebih baik supaya dia dan Higashino akhirnya dapat mengecapi kemenangan ke atas pilihan ketujuh Won Ho-Na Eun setelah tewas dalam tiga pertemuan sebelum ini.
Watanabe, 26, berkata bahawa kemenangan pada final akan menjadi langkah besar dan membantu menebus kekecewaan tewas 19-21, 11-21 pasangan China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong pada final edisi tahun lalu.
"Kami menyasarkan untuk kembali ke gelanggang dengan pemikiran yang segar dengan memberikan persembahan terbaik dan muncul sebagai pemenang esok," katanya.
Won Ho-Na Eun, sementara itu, akan membuat penampilan pertama mereka dalam final Super 1000 setelah mengambil masa 41 minit untuk menghentikan langkah hebat pasangan bukan pilihan dari Singapura, Terry Hee-Jessica Tan dengan kemenangan 21-16, 21-16.
Na Eun dengan gembira berkata beliau hampir menangis setelah memastikan tempat dalam final dan hanya satu langkah lagi untuk mencapai kemenangan gelaran terbesar dalam karier mereka.
Prestasi terbaik mereka sebelum ini adalah memenangi Terbuka Thailand (Super 500) tahun lalu.
"Saya sangat gembira dan terharu dengan keputusan hari ini. Kami akan memberikan yang terbaik dalam final esok," kata Na Eun.
Won Ho, juga optimis tentang peluang mereka untuk merangkul gelaran, bertekad untuk meningkatkan permainan dan komunikasi di gelanggang pada final.
Pasangan Singapura, walaupun kalah, berjanji untuk mengekalkan momentum mereka ketika menuju ke Terbuka India di New Delhi minggu depan.
Semalam, pasangan suami isteri tersebut mengejutkan juara dunia 2021 Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand dengan kemenangan 21-16, 21-19 dalam saingan suku akhir.
Sementara itu, dalam separuh akhir wanita, pilihan kelima dari China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu mencipta kejutan dengan menyingkirkan pilihan kedua, Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan, 21-17, 21-17.
Yu menyifatkan kemenangan tersebut sebagai sesuatu yang sangat bermakna kerana sebelum ini mereka sudah tewas dua kali kepada Ha Na-So Hee.
Beliau juga menekankan bahawa kejayaan itu akan meningkatkan keyakinan mereka menjelang pertemuan final dengan rakan senegara dan pilihan kelapan, Liu Sheng Shu-Tan Ning, yang mengalahkan Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun 21-11, 21-16.
Dalam pada itu, Sheng Shu berpuas hati dengan prestasi dan menegaskan komitmen mereka untuk memberikan segalanya untuk mendapatkan gelaran pertama pada musim baharu ini selepas merangkul empat kejuaraan pada siri Jelajah Dunia tahun lepas.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #penampilan pertama #Terbuka Malaysia 2024 #suku akhir
;