Terbuka Malaysia: Singkir awal kali ketiga hantui Zii Jia

Bernama
Januari 9, 2024 23:28 MYT
Zii Jia melakukan banyak kesilapan dalam set penentuan ketika Guang Zu kekal tenang untuk mengesahkan tempat ke pusingan kedua. - Gambar fail/Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia nampaknya tidak dapat mencari ramuan ajaib untuk memecahkan sumpahan 'tersungkur awal' selepas tewas 21-16, 19-21, 15-21 kepada pemain China, Lu Guang Zu, pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2024 di Arena Axiata, di sini hari ini.
Zii Jia, yang bukan pemain pilihan, hanya perlu dipersalahkan kerana mensia-siakan permulaan cemerlang dalam perlawanan pertama untuk membolehkan pemain nombor 19 dunia, Guang Zu, bangkit untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Terkedu, Zii Jia melakukan banyak kesilapan dalam set penentuan ketika Guang Zu kekal tenang untuk mengesahkan tempat ke pusingan kedua.
Ini adalah penyingkiran awal ketiga berturut-turut Zii Jia dalam Terbuka Malaysia - setelah tewas 19-21, 21-19, 16-21 kepada pemain Indonesia, Shisar Hiren Rhustavito pada pusingan kedua pada 2022 dan 21-13, 17-21, 19-21 kepada Kodai Naraoka dari Jepun pada pusingan pembukaan tahun lepas..
Zii Jia juga telah tersingkir awal dalam Terbuka Malaysia pada 2019, kalah 17-21, 21-19, 15-21 kepada pemain Thailand Suppanyu Avihingsanon pada pusingan pertama.
Pemain nombor 11 dunia Zii Jia mengakui Guang Zu beraksi jauh lebih baik daripadanya hari ini, terutama dalam permainan defensif sepanjang perlawanan set penentuan.
"Saya melakukan apa sahaja yang diajar oleh jurulatih, cuma saya tidak cukup konsisten. Bagaimanapun, banyak lagi kejohanan akan datang dan saya hanya perlu terus berusaha lebih gigih lagi," katanya.
Pemain berusia 25 tahun itu bagaimanapun percaya dengan kebolehannya dan yakin akan menang di laman sendiri suatu hari nanti.
"Kadang-kadang anda menang, kadang-kadang anda kalah. Saya benci perlu menjawab jika saya boleh kembali lebih kuat selepas kekalahan, penat mengulangi perkara yang sama, tetapi saya perlu bersabar. Tidak tahu bila saya boleh berdiri di sana sebagai pemenang... semoga suatu hari nanti," katanya.
Pemain muda Kedah itu akan kembali beraksi pada Terbuka India 2024 minggu depan di New Delhi, di mana dia akan menentang pemain Kanada, Brian Yang pada pusingan pertama.
Sementara itu, pilihan keempat Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia menewaskan Su Li Yang dari Taiwan 21-18, 21-12 untuk berdepan dengan dengan Guang Zu.
Pemain nombor 25 dunia Toma Junior Popov dari Perancis mencipta kejutan apabila menyingkirkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 dan nombor 14 dunia, Chou Tien Chen dari Taiwan 21-11, 19-21, 21-15.
Pada pusingan kedua, Popov akan menentang pilihan ketujuh Shi Yu Qi selepas pemain China itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pemain Denmark, Rasmus Gemke 20-22, 21-12, 21-10.
-- BERNAMA
#pemain muda #Terbuka Malaysia 2024 #mencipta kejutan #Sukan Olimpik 2020
;