Terbuka Malaysia: 'Saya dan Pearly baik-baik sahaja' - Thinaah fokus aksi lebih tekal

Astro Arena
Januari 2, 2024 22:02 MYT
Thinaah berharap dia dan Pearly dapat mengekalkan prestasi lebih tekal, khususnya pada penghujung saingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris. - StadiumAstro
PEMAIN beregu wanita negara, M. Thinaah, berkata isu pertelingkahann dengan pasangannya, Pearly Tan, yang digembar-gemburkan sebelum ini, bukan satu gangguan menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Arena Axiata bermula 9 Januari ini.
Menyedari aksi kurang memberangsangkan sepanjang 2023, Thinaah berharap dia dan Pearly dapat mengekalkan prestasi lebih tekal, khususnya pada penghujung saingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris.
"Saya dan Pearly setakat ini baik-baik sahaja," katanya kepada wartawan Astro Arena, Syifa Nasir.
"Kami juga amat teruja untuk bermain dalam Terbuka Malaysia tahun ini.
"Memandangkan ia merupakan kejohanan pertama tahun ini, jadi kami amat teruja untuk bermain di laman sendiri.
"Dari dulu juga kami sudah katakan bahawa ketekalan merupakan masalah utama kami kerana apabila kami meningkat, ia amat ketara dan apabila ada penurunan, ia juga amat ketara.
"Saya fikir kami perlukan lebih penambahbaikan dalam perkara itu.
"Selain itu, kami hanya perlu lebih berkomunikasi dan bekerjasama di dalam gelanggang dan semuanya akan menjadi baik," katanya.
* Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com
#M Thinaah #Pearly Tan #badminton #Terbuka Malaysia
;