Terbuka Malaysia: Penonton tunggu dua jam sebelum dapat masuk stadium
Bernama
Julai 1, 2022 06:45 MYT
Julai 1, 2022 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: Peminat sukan badminton yang datang awal untuk menyaksikan peringkat suku akhir Terbuka Malaysia 2022 semalam, terpaksa berpanas dan mandi peluh sebelum dibenarkan masuk ke dalam Arena Axiata, Bukit Jalil.
Tinjauan Bernama di sekitar arena itu mendapati Arena Axiata itu hanya dibuka sejam sebelum aksi suku akhir kejohanan itu bermula, yang dijadualkan pada 3 petang semalam menyebabkan penyokong terpaksa berbaris sepanjang 500 meter dari pintu masuk stadium dalam cuaca panas.
Aksi suku akhir semalam dengan nama-nama besar seperti juara Olimpik Viktor Axelsen, Kento Momota, Tai Tzu Ying, Ratchanok Intanon, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dan PV Sindhu, berjuang untuk tempat ke separuh akhir.
Salah seorang penyokong Alex Tan, 25, yang hadir bersama rakannya, berkata beliau tiba seawal 12.15 tengah hari, namun terpaksa menunggu sehingga 2 petang sebelum dibenarkan masuk ke dalam stadium.
"Kita memang tahu suku akhir bermula 3 petang, tetapi tidak tahu pintu hanya buka pukul 2 petang. Kita datang awal kerana mahu mendapatkan tempat duduk di hadapan kerana tempat duduk bebas, kalau datang lambat kena duduk belakang, selain dapat membeli cenderahati kejohanan yang dijual di dalam stadium.
"Disebabkan pintu dibuka lambat, kita terpaksa tergesa-gesa masuk ke tempat duduk, tidak dapat melihat cenderahati. Walaupun penat menunggu, kami gembira kerana dapat duduk di tempat yang baik," katanya.
Beliau berkata, terdapat juga penyokong yang hilang sabar ketika menunggu dan meninggikan suara supaya pintu stadium dibuka segera.
-- BERNAMA