Terbuka Malaysia: Momota tidak rela berputih mata lagi
Astro Arena
April 1, 2019 05:19 MYT
April 1, 2019 05:19 MYT
KETIADAAN juara bertahan, Datuk Lee Chong Wei, untuk turun mempertahankan gelaran perseorangan lelaki dalam Kejohanan Terbuka Malaysia 2019 membuka peluang buat finalis edisi lalu, Kento Momota, memburu kejuaraan ketiganya dalam tempoh dua bulan.
Tahun lalu, Momota dinafikan gelaran juara Terbuka Malaysia setelah tumpas dalam aksi final kepada Chong Wei yang menyaksikan jaguh perseorangan itu mencatat rekod menjadi perseorangan lelaki paling berjaya dalam kejohanan itu dengan 12 kejuaraan.
Ketiadaan Chong Wei yang terpaksa menarik diri berikutan masih belum cergas memberi kelegaan buat Momota yang menyifatkan pemain kebanggaan Malaysia itu sebagai lawan yang liat untuk ditumpaskan meskipun sudah berusia.
"Saya akui ketiadaan Datuk Lee Chong Wei memberi kelegaan memandangkan kurang seorang lagi pencabar sengit dalam kejohanan ini.
"Saya mengidamkan untuk memenangi gelaran Terbuka Malaysia tahun ini selepas kalah kepada Chong Wei tahun lalu," kata pemain dari Jepun itu.
Momota dalam momentum terbaik apabila sudah menjuarai dua gelaran, iaitu Terbuka Jerman dan gelaran sulung Seluruh England, bulan lalu.
Selepas muncul rakyat Jepun pertama yang meraih gelaran di Birmingham, England, Momota bertekad untuk melakar satu lagi sejarah, menjadi rakyat Jepun pertama yang menjuarai Terbuka Malaysia dalam tempoh 82 tahun sejak kejohanan itu diwujudkan.
"Saya sudah persiapkan diri saya sebaik mungkin selepas berakhirnya Seluruh England kerana ini juga antara kejohanan yang penting buat saya.
"Saya harap kali ini mampu pulang sebagai juara," katanya.
#Jepun
#kejuaraan ketiga
#Kento Momota
#Lee Chong Wei
#perseorangan lelaki
#Seluruh England
#Terbuka Malaysia