Terbuka Malaysia: Kirthana kecewa walaupun pingat emas

Bernama
Julai 18, 2017 08:02 MYT
Atlet Perak berusia 20 tahun itu kecewa kerana gagal melepasi lompatan terbaiknya sejauh 13.48m pada kejohanan G. Kosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan, akhir bulan lepas.
Atlet lompat kijang kebangsaan R. Kirthana kecewa dengan prestasinya, walaupun meraih pingat emas dengan lompatan sejauh 13.18m dalam cuaca panas membahang pada kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-94 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada Isnin.
Atlet Perak berusia 20 tahun itu kecewa kerana gagal melepasi lompatan terbaiknya sejauh 13.48m pada kejohanan G. Kosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan, akhir bulan lepas.
Katanya, kekurangan cabaran apabila hanya lima peserta mengambil bahagian dalam acara itu adalah antara penyebab yang tidak merangsang prestasinya.
Bagaimanapun, pemenang dua pingat perak dalam acara lompat jauh dan lompat kijang pada Sukan Malaysia 2016 (Sukma) ini bertekad untuk membuat lompatan melebihi 13.70m pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 untuk memberinya peluang memenangi pingat emas di gelanggang sendiri.
“Cuaca terlalu panas dan kami menjadi mudah letih...saya rasa acara lompatan tidak sesuai diadakan dalam keadaan panas terik, pagi atau lewat petang adalah lebih baik kerana keadaan tidak terlalu panas. Saya berharap, semasa Sukan SEA, acara lompatan tidak akan diadakan pada tengah hari.
“Selain itu, pesaing utama saya pada Sukan SEA dari Vietnam dan Thailand tiada di sini, hanya atlet lompatan dari Indonesia dan Laos yang mengambil bahagian hari ini. Bagaimanapun, saya perlu berusaha dengan lebih gigih untuk mencatat keputusan lebih baik pada Sukan SEA nanti,” katanya kepada pemberita selepas acara penyampaian hadiah di sini pada Isnin.
Dalam acara itu, Phouthavong dari Laos menang pingat perak dengan lompatan sejauh 12.09m, manakala Riska Nuliananda (11.29m) dari Indonesia meraih pingat gangsa.
Sementara itu, Kirthana juga berazam untuk memecahkan rekod kebangsaan yang dicipta Noor Amirah Nafiah pada Kejohanan Terbuka Malaysia 2012 dengan lompatan sejauh 13.90 m.
Esok, atlet bersemangat waja ini akan menyertai acara lompat jauh wanita untuk memberi cabaran kepada pesaing dan rakan baiknya, Noor Shahidatun Nadia Zuki, dari Kedah.
“Bagi lompat jauh, saya berharap dapat melepasi ketinggian 6m berbanding paras terbaik saya 5.94m. Walaupun acara kegemaran saya ialah lompat kijang, tapi saya juga akan cuba memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh pada Sukan SEA nanti,” katanya.
-- BERNAMA
#kejohanan #olahraga terbuka malaysia #R Kirthana #SUKMA
;