Terbuka Malaysia: Kian Meng-Pei Jing kibar perjuangan dalam suku akhir
Astro Arena
April 4, 2019 04:54 MYT
April 4, 2019 04:54 MYT
BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, terus mengibarkan perjuangan dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2019 setelah melepasi pusingan kedua di Arena Axiata, Bukit Jalil, malam tadi.
Kian Meng-Pei Jing bangkit daripada kekalahan dalam set pertama untuk mengatasi beregu dari India, Pranaav Jerry Chopra-Reddy N. Sikki, 15-21, 21-17, 21-13.
Lai Pei Jing berkata, “Saya berasakan tidak bermain dengan bagus dalam aksi hari ini, namun mujurlah Kian Meng berjaya membantu dan dalam set kedua dan ketiga, barulah saya mendapat semula rentak.
“Walaupun kami tewas dalam set pertama, kami berdua tidak putus asa dan hanya memberikan yang terbaik sehingga kemenangan memihak kami."
Kian Meng pula menyimpulkan: "Saya mahu menang perlawanan ini, jadi kemahuan itu melonjakkan semangat saya dan pasangan untuk terus berjuang dalam aksi tadi. Saya tidak boleh katakan ini aksi terbaik kami, namun permainan kami semakin meningkat dan mengharapkan untuk terus konsisten."
Menanti Kian Meng-Pei Jing dalam suku akhir pada Jumaat adalah Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow dari Indonesia.
Selain Kian Meng dan Pei Jing, turut melangkah ke pusingan suku akhir hari ini adalah satu lagi beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. Mereka menewaskan pasangan Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Pia Zebadiah Bernadet, 21-13 21-14 dan akan bertemu pilihan kedua kejohanan dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping.
"Ini merupakan kejohanan kedua lawan kami kerana mereka baru sahaja digandingkan bersama dan kelebihan itu digunakan sebaik mungkin," kata Peng Soon.
"Saya berasakan ini merupakan tanggungjawab yang harus kami pikul untuk membawa nama Malaysia dalam pusingan suku akhir," kata Liu Ying.
Pemain-pemain negara yang terkandas dalam pusingan kedua tadi terdiri daripada pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei, serta beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, beregu lelaki profesional, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen serta Goh V Shem-Tan Wee Kiong.
Jin Wei, yang baru pulih daripada kecederaan hamstring tiga minggu lalu, mengakui tidak berpuas hati dengan prestasinya tetapi tidak akan berputus asa untuk kembali memberikan saingan lebih kompetitif dalam kejohanan lain selepas ini.
“Saya ambil kekalahan ini sebagai satu pengajaran.
"Banyak perlu diperbaiki, terutama taktikal permainan. Saya tidak boleh kaitkan kekalahan dengan kecederaan kerana saya perlu bertanggungjawab dalam memberikan prestasi yang bagus,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat- Shevon Jemie Lai, pula terpaksa menarik diri setelah Soon Huat mengalami masalah kesihatan pagi tadi.
Mengulas mengenai penarikan diri pasangan itu, Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berkata, “Memang ia satu berita yang kurang bagus buat Soon Huat kerana selepas sesi latihan pagi ini, dia berasa tidak sihat dan pening. Selepas pemeriksaan doktor, dia dinasihatkan supaya tidak beraksi dan perlu berehat.”
“Bagaimanapun, ia berita yang melegakan kerana keadaan tersebut bukan berkaitan sejarah kesihatan lalunya,” kata Choong Hann.