Terbuka Malaysia: Kecederaan sekat hajat Daren
Astro Arena
April 2, 2019 05:40 MYT
April 2, 2019 05:40 MYT
KECEDERAAN berulang di kaki kiri memaksa perseorangan profesional negara, Liew Daren, terpaksa akur dengan kekalahan pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang turut menyaksikan penyingkiran perseorangan wanita kebangsaan, Soniia Cheah, pada Selasa.
Kecederaan itu mula dialami Daren sewaktu menarik diri daripada separuh akhir Masters Malaysia, Januari lalu.
Ia seperti sudah dijangka belenggu fizikal itu gagal memberikan laluan buat Daren untuk mempamer prestasi sebenar ketika berdepan wakil Thailand, Kanthapon Wangcharoen.
Daren tewas straight set 21-10, 21-15.
"Kecederaan saya masih lagi dirasai dan ia telah mengganggu tumpuan saya sepanjang saingan," katanya.
Bagi saingan perseorangan wanita, Soniia yang berdepan pemain nombor 4 dunia, Akane Yamaguchi, turut ditunjukkan jalan keluar dalam pusingan pertama.
Meskipun turun dengan penuh keyakinan, kegagalan Soniia untuk segera menyesuaikan diri dengan taktikal lawan memakan diri, sekali gus tewas 16-21, 17-21.
"Sejak permulaan permainan, saya gagal mengikut rentak lawan dan ia menyaksikan saya ketinggalan jauh sebelum kembali menemui sentuhan selepas diberi nasihat oleh jurulatih," kata Soniia.