Terbuka Malaysia: Juan Shen, Kah Ming gagal ke suku akhir
Astro Arena
April 6, 2017 21:28 MYT
April 6, 2017 21:28 MYT
HARAPAN pemain beregu lelaki negara, Low Juan Shen dan Chooi Kah Ming, untuk melangkah ke suku akhir Terbuka Malaysia tidak kesampaian apabila tumpas di tangan pasangan China, Chai Biao dan Hong Wei, 6-21, 19-21, di Kuching, Sarawak, hari ini.
Bagai pertemuan langit dan bumi, kualiti permainan kedua pasangan ini jauh berbeza.
Biao dan Wei -- yang berada di tangga ketiga dunia -- nyata tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengetepikan wakil negara yang berada di ranking ke-53 dunia itu.
Pada set pertama, Juan Shen dan Kah Ming bergelut untuk menyaingi lawan dan akhirnya tumpas 6-21.
Selepas itu, Juan Shen dan Kah Ming cuba bersaing sehingga mendahului seketika pada set kedua tetapi pengalaman membataskan mereka apabila Biao dan Wei memintas untuk mencatat kemenangan straight set 21-19.
"Kami hilang fokus sedikit ketika penghujung permainan dan perlu tingkatkan lagi prestasi selepas ini," kata Kah Ming.
Sementara itu, Juan Shen berkata: "Ini adalah Super Siri pertama kami. Saya rasa kami boleh buat lagi baik tetapi balik nanti kena berlatih dengan gigih lagi."