Terbuka Malaysia: Empat beregu negara buru slot separuh akhir

Bernama
Jun 30, 2022 06:45 MYT
Aksi pemain beregu Lelaki Malaysia Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik (kiri) sewaktu menentang pemain Singapura Hee Yong Kai Terry dan Loh Kean Hean. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Selepas jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tersingkir di pusingan kedua, kini hanya empat beregu negara masih meneruskan cabaran di peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini,
Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melepasi halangan pusingan kedua dalam misi memburu gelaran sulung di laman sendiri selepas menumpaskan pasangan Singapura,Hee Yong Kai Terry-Loh Kean Hean 21-16, 21-13.
Beregu pilihan kelima itu akan menentang beregu pilihan ketiga, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia, pada suku.
Beregu kedua lelaki negara, Goh-Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan berdepan dengan cabaran getir apabila bertemu juara Terbuka Indonesia, 19 Jun lalu, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China.
Gandingan itu melangkah ke suku akhir dengan mudah apabila memperoleh kemenangan percuma selepas beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty menarik diri akibat kecederaan sebelum memulakan perlawanan.
Beregu profesional lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, turut menempah slot suku akhir dengan menyingkirkan juara Sukan Olimpik Tokyo 2020, , Wang Chi Lin-Lee Yang dari Taiwan, 21-17, 21-18.
Pasangan ranking ke-10 dunia itu akan menentang beregu Indonesia dan pilihan keenam, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto, bagi merebut tempat ke separuh akhir.
Dalam acara wanita, beregu Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing muncul wakil tunggal negara selepas melakukan kejutan dengan mengalahkan pilihan kedua, Lee So Hee-Shin Seung Chan dari Korea Selatan, 18-21, 21-12, 21-15.
Mereka akan menentang gandingan Jepun, Mayu Maysumoto-Wakana Nagahara, untuk memburu tiket ke separuh akhir.
Perlawanan suku akhir akan bermula jam 3 petang hari ini.
-- BERNAMA
#badminton #Terbuka Malaysia 2022 #Aaron Chia-Soh Wooi Yik #Goh-Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani
;