Terbuka Malaysia: Chong Wei wakil tunggal negara mara ke suku akhir

Astro Arena
April 6, 2017 22:41 MYT
Berbekalkan sokongan padu penonton di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Chong Wei jelas menguasai perlawanan. - Gambar fail
JAGUH perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan lawan dari Hong Kong, Hu Yun, dalam pusingan kedua untuk mara ke suku akhir Terbuka Malaysia di Kuching, sarawak, hari ini.
Chong Wei menjadi sandaran tunggal Malaysia dalam kejohanan itu selepas kesemua wakil negara kecundang kepada lawan masing-masing sebelum ini.
Berbekalkan sokongan padu penonton di Stadium Perpaduan Petra Jaya, Chong Wei jelas menguasai perlawanan.
Pada set pertama, Chong Wei memperagakan aksi meyakinkan untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan, 21-8.
Pada set kedua juga tidak banyak berubah, Chong Wei tidak menunggu lama untuk menamatkan perjalanan Yun dalam kejohanan kali ini dengan kemenangan, 12-6.
"Saya boleh habiskan perlawanan dengan cepat. Saya akan beraksi esok dan seperti yang saya cakap sebelum ini, apa yang penting adalah prestasi diri sendiri tanpa memikirkan siapa lawan," kata Chong Wei.
Berbicara tentang lawannya, Jeon Hyeok-jin dari Korea Selatan esok, jaguh dunia itu tidak memandang cabaran pada suku akhir nanti menjadi lebih mudah.
Biarpun ranking dunia dan pengalaman memisahkan kedua mereka, Chong Wei tetap berwaspada dengan dengan ancaman dari Hyeok-jin.
Hyeok-jin sebelum ini menewaskan seorang lagi perseorangan negara, Chong Yee Han, pada peringkat kelayakan.
"Jangan pandang rendah kepada lawan dan lebih fokus pada aksi diri sendiri. Tengoklah esok perlawanan jam berapa dan saya fokus satu perlawanan ke satu perlawanan," tambah Chong Wei.
#badminton #Lee Chong Wei #Terbuka Malaysia #wakil tunggal
;