Terbuka Malaysia: Beregu campuran negara cipta kejutan tewaskan pilihan ketiga dari Jepun
Bernama
April 2, 2019 06:02 MYT
April 2, 2019 06:02 MYT
Pasangan beregu campuran negara mencipta kejutan pada perlawanan pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2019 pada Selasa apabila melakar kejayaan pertama tahun ini menewaskan pilihan ketiga dari Jepun Yuta Watanabe-Arisa Higashiro.
Di gelanggang Arena Axiata, Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil, pasangan yang berada di ranking ke-38 dunia, gandingan Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing mengenepikan pilihan ketiga dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashiro dengan straight set 21-16, 21-15.
Kejayaan itu sekaligus menamatkan badi kegagalan yang sering dialami di pusingan pertama dalam beberapa kejohanan disertai mereka sebelum ini, dan Kian Meng secara berseloroh membuat kesimpulan bahawa kemenangan itu mungkin ada kaitan dengan gaya rambut barunya.
"Gaya rambut hari ini...saya cuba dulu. Mungkin boleh bantu menamatkan badi, dan tidak sangka ia membantu... bukan saya yang 'power' tapi gaya rambut saya ini yang 'power'," kata Kian Meng yang berpuas hati dapat melakar kemenangan pertama di gelanggang sendiri.
Dalam pada itu, Kian Meng turut menyifatkan kemenangan itu adalah hasil daripada sokongan banyak pihak di belakang tabir.
"Menang bukan disebabkan saya, Pei Jing dan jurulatih sahaja, tetapi ia juga adalah hasil sokongan ramai, seperti penganalisis, 'masseur' dan sebagainya," katanya.
Sementara itu, Pei Jing berkata beliau seakan tidak percaya kerana hanya memerlukan 37 minit untuk menewaskan juara Seluruh England 2019 dalam perlawanan straight set.
"Dua tahun lepas ketika Kejohanan Piala Sudirman, kita kalahkan mereka dalam 'rubber game' dan ketika itu mereka belum bergelar juara All England lagi. Jadi saya agak teruja pada awalnya sebelum pertemuan dengan mereka kali ini, sebab tidak tahu bagaimana tahap permainan mereka sekarang. Saya tidak percaya dapat menang 'straight sets'.
"Seperti biasa saya selalu cakap, harap dapat menyerlahkan apa yang kita selalu lakukan ketika latihan. Saya rasa di perlawanan itu, kita dah lakukan yang terbaik dan itulah yang membawa kemenangan," katanya.
Gandingan negara bakal berdepan pasangan beregu campuran dari India Pranav Jerry Chopra-Reddy N.Sikki di pusingan kedua yang akan berlangsung pada Khamis.
Terdahulu, gandingan dari India yang menduduki tangga ke-31 dunia terpaksa bekerja keras sebelum berjaya mengenepikan pasangan Ireland Sam Magee-Chloe Magee 22-20, 24-22.
Nasib berbeza dialami pasangan Cheng Tang Jie-Peck Yen Wei apabila gagal mara ke pusingan kedua selepas tunduk kepada pasangan dari England Marcus Ellis-Lauren Smith 21-15, 21-13.
Beregu campuran profesional negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula tidak mempunyai masalah untuk mengenepikan gandingan Jepun Kohei Gondo-Ayane Kurihara 21-13, 21-19 untuk mara ke pusingan kedua.
Peng Soon-Liu Ying akan berdepan Ricky Karandasuwardi-Pia Zebadiah Bernadet yang sebelum itu terpaksa berhempas pulas sebelum meraih kemenangan ke atas pasangan Rusia Rodion Alimov-Alina Davletova 21-18, 13-21, 27-25.
-- BERNAMA
#badminton
#beregu campuran negara
#kemenangan
#Lai Pei Jing
#perlawanan
#pilihan ketiga
#Tan Kian Meng
#Terbuka Malaysia