Terbuka Malaysia: BAM janji penganjuran terbaik

Bernama
Disember 6, 2012 10:11 MYT
Semua perlawanan pusingan awal dijangka diselesaikan sebelum 10 malam pada Kejohanan Badminton Maybank Terbuka Malaysia 2013 di Stadium Putra Bukit Jalil di sini dari 15 hingga 20 Jan depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola kejohanan itu, Datuk Dr Mohamed Al-Amin Abdul Majid berkata ini berikutan penggunaan lima gelanggang perlawanan berbanding empat sebelum ini pada hari pertama dan kedua.
"Ini bagi memastikan semua perlawanan dihabiskan sekurang-kurangnya pada pukul 10 malam dan tidak terlalu lewat bagi membolehkan penonton dan petugas termasuk media pulang berehat lebih awal," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di Stadium Nasional Bukit Jalil Rabu.
Beliau berkata pihaknya juga akan mencuba pendekatan baharu, iaitu penganjuran dalam bentuk karnival yang melibatkan aktiviti hiburan dan promosi di luar stadium.
Edisi 2013 merupakan kali terakhir Kejohanan Terbuka Malaysia itu dianjurkan dengan status Siri Super sebelum dinaiktaraf ke Siri Super Premier pada 2014.
#badminton #Bukit Jalil #Maybank #Super Series #Terbuka Malaysia
;