Terbuka Malaysia: Axelsen mudah ke pusingan kedua
Bernama
Januari 11, 2023 08:15 MYT
Januari 11, 2023 08:15 MYT
KUALA LUMPUR: Juara dunia, Viktor Axelsen berjaya melepasi pusingan pertama Terbuka Malaysia 2023 takkala dia cepat menyesuaikan diri pada aksi pembukaan menentang rakan senegara dari Denmark, Rasmus Gemke, di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, semalam.
Dalam usaha mempertahankan kejuaraan, bagaimanapun, Axelsen tewas set pertama 21-17 sebelum mengekalkan rekod bersih lima pertemuan dengan Gemke, pemain nombor 21 dunia, dengan kemenangan 21-14 dan 21-12 dalam pertemuan lebih sejam itu.
Axelsen, selaku pemain nombor satu dunia, dijadual menentang pemain profesional negara, Liew Daren, yang membayangkan kemungkinan menarik diri, pada pusingan kedua, Khamis ini.
"Perlawanan pertama sentiasa sukar, terutamanya di gelanggang di Axiata Arena agak sukar dengan tiupan angin yang kuat. Banyak perkara yang perlu diambil kira, namun saya sangat gembira kerana berjaya menang," kata Axelsen kepada pemberita selepas perlawanan.
Pemain berusia 29 tahun itu juga yakin prestasinya akan kekal utuh, walaupun dia mungkin menerima kemenangan percuma pada pusingan kedua.
Daren, 36, selepas kemenangan pusingan pertamanya 21-15, 14-21, 21-17 menentang Toma Junior Popov dari Perancis, berkata, dia mungkin menarik diri daripada kejohanan itu kerana kecederaan betis kanannya yang dialami sejak bulan lalu.
"Saya mendoakan yang terbaik untuk Daren, dia seorang pemain yang hebat. Saya harap dia boleh bermain, namun ia di luar kawalan saya. Saya akan meneruskan latihan dan persiapan esok, mungkin ada masa untuk berjalan-jalan," kata Axelsen.
Sementara itu, pilihan keempat, Chou Tien Chen dari Taiwan, terpaksa bekerja keras selepas ketinggalan set pertama sebelum bangkit menyingkirkan bintang China yang semakin meningkat, Shi Yu Qi, 21-23, 24-22, 21-18 pada pusingan pembukaan.
Dalam acara beregu lelaki, gandingan nombor 21 dunia, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan muncul sebagai 'pembunuh gergasi' kejohanan bernilai US$1.25 juta (RM5.46 juta) itu.
Kedua-duanya menghantar pulang pemain nombor satu dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dengan kemenangan straight set 21-13, 21-15 untuk mencabar Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan seterusnya.
Mengikuti mereka ke pusingan 16 terakhir ialah beregu veteran Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan, yang menewaskan pasangan China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong 19-21, 21-8, 21-13, untuk berdepan rakan senegara, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan, pada pusingan kedua.
-- BERNAMA