Terbuka Malaysia: Aaron-Wooi Yik berdepan cabaran juara dunia pada suku akhir

Bernama
Januari 11, 2024 21:35 MYT
Cabaran menanti Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila bakal berdepan Juara Dunia 2023, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan. - Facebook Badminton Association of Malaysia - BAM
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor empat dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan untuk mara ke suku akhir Terbuka Malaysia 2024 dengan menyingkirkan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Pada aksi pusingan kedua di Arena Axiata di sini hari ini, Juara Dunia 2022 itu tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Sze Fei-Nur Izzuddin 21-15, 21-16 dalam masa 37 minit, sekali gus membuktikan status mereka sebagai beregu utama negara.
Namun, cabaran sebenar Aaron-Wooi Yik menanti di pusingan suku akhir esok, apabila bakal berdepan Juara Dunia 2023, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan, yang menewaskan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan 21-13, 21-14.
"Agak sedih untuk menyingkirkan rakan sepasukan kerana kita sama-sama berlatih bersungguh-sungguh setiap hari. Malangnya, kami perlu membuktikan kehebatan kami dan bermain dengan lebih konsisten.
Saya dan Aaron dah (lalui) banyak situasi macam ini (menjadi harapan utama), jadi ia tidak jadi halangan dan kita akan fokus aksi esok. Memang aksi yang sengit, harap para penyokong beri sokongan baik untuk membakar semangat kami," kata Wooi Yik selepas kepada pemberita.
Sementara itu, Aaron berkata akan membuat persiapan rapi untuk bertemu lawan mereka pada aksi esok.
Mengikut rekod pertemuan, Min Hyuk-Seung Jae, yang turut muncul juara Jelajah Dunia Akhir (World Tour Finals) 2023, menewaskan Aaron-Wooi Yik pada pertemuan pertama di Kejohanan Dunia pada Ogos, manakala Aaron-Wooi Yik menyingkirkan mereka pada separuh akhir Terbuka China 2023 selepas itu.
Aaron-Wooi Yik mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia selepas menewaskan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dari Denmark 20-22, 21-13, 21-13, manakala Sze Fei-Nur Izzuddin mengatasi Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand 21-17, 22-20.
Pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik pada Terbuka Malaysia adalah pusingan separuh akhir pada 2019, manakala pada edisi lepas, mereka tersingkir seawal pusingan kedua.
Terdahulu, gandingan beregu lelaki profesional Ong Yew Sin-Yeo Ee Yi menjadi wakil negara yang pertama untuk mengesahkan slot ke suku akhir selepas mencipta kejutan ke atas beregu nombor lima dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 21-10, 11-21, 24-22.
Ia mengulangi pencapaian tahun lepas apabila hanya dua wakil - Yew Sin-Ee Yi dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei - sahaja yang mara ke suku akhir.
Nasib tidak menyebelahi empat lagi wakil negara di pusingan kedua - perseorangan wanita Goh Jin Wei, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, Chan Peng Soon-Cheah Yee See, Tang Jie-Ee Wei (beregu campuran) - yang tewas kepada lawan masing-masing.
-- BERNAMA
#Terbuka Malaysia #Aaron Chia-Soh Wooi Yik #badminton #juara dunia #Korea Selatan #suku akhir
;