Terbuka Malaysia 2013 hilang seri
Astro Awani
Januari 18, 2013 08:48 MYT
Januari 18, 2013 08:48 MYT
Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia 2013 tampak hilang seri apabila tiga perlawanan pusingan kedua semalam tidak dilangsungkan.
Ia gara-gara keputusan menarik diri membabitkan pemain Thailand Boonsak Ponsana, jaguh peseorangan Indonesia, Taufik Hidayat dan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.
Terlebih dahulu menarik diri daripada saingan ialah Taufik setelah dilanda kecederaan.
Keputusan itu sekaligus membolehkan pemain negara, Liew Daren tanpa berpeluh mara ke suku akhir.
Situasi sama juga berlaku kepada Datuk Lee Chong Wei apabila lawannya Boonsak mengambil keputusan untuk tidak beraksi.
Boonsak pula mengalami masalah kesihatan akibat demam.
Chong Wei yang menerima laluan percuma ke suku akhir berkata ia keputusan mengejutkan memandangkan lawan menarik diri tanpa beraksi.
Sementara itu, penarikan Kien Kiat-Boon Heong disahkan ketua jurulatihnya, Tan Kim Her.
Pengumuman itu sekaligus menghadiahkan kemenangan percuma kepada gandingan senegara, Goh Wei Shem-Lim Khim Wah untuk melangkah ke suku akhir.