Terbuka AS: Laluan mudah tidak beri kelebihan kepada Nadal

Astro Arena
Ogos 24, 2019 12:47 MYT
Nadal yang turun selaku pilihan kedua kejohanan akan berdepan John Millman, yang menyingkirkan Federer dalam pusingan keempat di Flushing Meadows tahun lalu. (Foto AP/Fail)
RAFAEL Nadal tidak berasakan dia meraih kelebihan menghadapi Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas tidak diundi bersama Roger Federer dan Novak Djokovic.
Pemain nombor dua dunia, Nadal, hanya akan bertemu Federer atau Djokovic sehingga aksi final jika dia berjaya lolos ke peringkat itu.
Bagaimanapun, wakil Sepanyol itu menolak sebarang cadangan bahawa dia memiliki peluang untuk melangkah ke final bagi edisi kali ini.
"Saya tidak pasti. Saya perlu memenangi setiap perlawanan saya kerana akan bertemu Federer atau Djokovic dalam aksi final," katanya.
"Banyak perkara yang harus saya lakukan sebelum mengetahui saya memiliki kelebihan atau sebaliknya.
"Tiada kelebihan atau kekurangan. Ia sebahagian daripada undian."
Nadal yang turun selaku pilihan kedua kejohanan akan berdepan John Millman, yang menyingkirkan Federer dalam pusingan keempat di Flushing Meadows tahun lalu.
Thanasi Kokkinakis, yang turut mengecewakan Federer musim lalu dan Fernando Verdasco merupakan lawan yang berpotensi buat Nadal dalam pusingan kedua dan ketiga.
Dominic Thiem - pilihan keempat - mungkin bertemu Nadal dalam separuh akhir.
"Thiem kini pemain nombor empat dunia. Dia telah menampilkan peningkatan," kata Nadal mengenai pemain berusia 25 tahun itu.
"Dia telah menjuarai Masters 1000 di atas gelanggang keras. Dia turut tampil dalam aksi final di Roland Garros. Setiap hari dia meningkatkan mutu permainan dan semakin sukar diatasi."
#Amerika Syarikat #Dominic Thiem #John Millman #Novak Djokovic #Rafael Nadal #Roger Federer #sepanyol #tennis
;