Terbuka Korea: Zii Jia terus kempunan, kandas di pusingan pertama
Bernama
Julai 19, 2023 19:38 MYT
Julai 19, 2023 19:38 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia masih berdepan episod malang apabila kandas pada pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Korea 2023, hari ini.
Juara All England 2021 itu yang sudah menjunam dalam ranking dunia berikutan beberapa siri aksi hambar, tewas kepada Angus Ng Ka Long dari Hong Kong 15-21, 21-18, 17-21 yang berlangsung di Stadium Jinnam, Yeosu.
Jelajah Dunia Super 500 itu, merupakan kejohanan pertama Zii Jia sejak mengumumkan untuk berehat sementara daripada arena badminton berikutan kekalahan pusingan pertamanya di Terbuka Indonesia, bulan lepas.
Sejak itu, jurulatih Ka Long, Wong Tat Meng mula melatih Zii Jia, manakala bekas Pengarah Kejurulatihan Pemain Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Wong Choong Hann berlepas ke Hong Kong untuk membimbing pemain itu.
Ka Long bakal berdepan seorang lagi pemain Malaysia, Ng Tze Yong, yang menewaskan Mithun Manjunath dari India 21-11, 21-4, pada pusingan kedua esok.
Sementara itu, dalam aksi perseorangan wanita, dua daripada tiga pemain Malaysia berjaya mara ke pusingan 16 terakhir.
Juara kebangsaan yang baru dinobatkan, K. Letshanaa mengetepikan pemain Taiwan, Huang Ching Ping 21-12, 15-21, 21-18.
Bagaimanapun, beliau berdepan laluan sukar, menentang pemenang pingat perak Olimpik Tai Tzu Ying dari Taiwan, yang menewaskan pemain India, Malvika Bansod 21-17, 21-7, esok.
S. Kisona turut mara dengan menewaskan Lauren Lam dari Amerika Syarikat 21-19, 21-19 untuk menghadapi juara dunia dua kali dan pilihan utama Akane Yamaguchi dari Jepun, yang menewaskan pemain Thailand Pornpawee Chochuwong 21-17, 12-21, 21-19.
Bekas juara dunia remaja, Goh Jin Wei, bagaimanapun, terkeluar awal selepas tewas di tangan pemain Indonesia Putri Kusuma Wardani 18-21, 21-14, 19-21.
Pasangan beregu campuran Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing turut terlepas tempat ke pusingan kedua, selepas tumpas 17-21, 10-21 dengan pilihan kedua Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand.
Menanti pemain nombor tiga dunia itu ialah pemain nombor 19 dunia Malaysia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing. Mereka mara selepas menewaskan pemain Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo 21-15, 27-25.
-- BERNAMA