Terbuka Korea: Kian Meng-Pei Jing menyinar, rakan lain terkandas

Bernama
April 8, 2022 23:52 MYT
Kian Meng-Pei Jing memastikan slot ke separuh akhir milik mereka. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing memastikan Malaysia tidak terus hampa dalam suku akhir Kejohanan Terbuka Korea 2022 hari ini dengan memastikan slot ke separuh akhir milik mereka.
Pilihan kedua kejohanan Kian Meng-Pei Jing menundukkan pilihan kelima Ou Xuanyi-Huang Yaqiong dari China 21-18, 21-17 di Stadium Palma, Suncheon untuk bertemu pilihan keenam Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia pada separuh akhir nanti.
Pasangan Indonesia itu juga menumpaskan Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 15-21, 21-18, 21-16 dari Jepun dalam perlawanan suku akhir mereka.
Bagaimanapun, perjuangan wakil negara dalam acara masing-masing terhenti setakat suku akhir sahaja.
Pemain perseorangan negara yang sedang meningkat naik, Ng Tze Yong yang berada di ranking ke-45 dunia tewas 11-21, 12-21 kepada pemain nombor 156 dunia Weng Hongyang dari China dalam 39 minit.
Satu lagi beregu campuran negara Ong Yew Sin-Goh Liu Ying tidak memberikan laluan mudah kepada lawan mereka dan tewas kepada pasangan Korea Selatan Kim Won-ho-Jeong Na-eun 14-21, 23-21, 16-21.
Jaguh perseorangan wanita profesional negara Goh Jin Wei yang menyertai kejohanan pertamanya sejak Jun lepas tidak dapat beraksi dengan lancar dan kecundang 15-21, 18-21 kepada wakil Korea Selatan Kim Ga-eun.
Tiada berita gembira juga buat pemenang pingat gangsa beregu lelaki Kejohanan Dunia 2021 Ong Yew Sin-Teo Ee Yi selepas mereka dikecewakan beregu Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, 19-21, 20-22.
-- BERNAMA
#Tan Kian Meng-Lai Pei Jing #Terbuka Korea #Separuh Akhir #Ng Tze Yong
;