Terbuka Jerman: Zii Jia tempuh laluan sukar, Pearly-Thinaah tersingkir
Bernama
Mac 9, 2022 06:50 MYT
Mac 9, 2022 06:50 MYT
KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia terpaksa berhempas-pulas sebelum menundukkan Mark Caljouw dari Belanda dalam pusingan pertama Terbuka Jerman 2022 di Muelheim an der Ruhr, pada Rabu.
Kali terakhir bertembung pada separuh akhir All England 2021, pemain Belanda itu memberi tentangan sengit sebelum memenangi set pertama 21-19.
Bagaimanapun, Zii Jia, yang menjadi perseorangan profesional Januari lepas, berjaya menemui rentaknya bangkit untuk mengetepikan Caljouw 21-13, 21-8, dalam perlawanan yang berlanjutan selama 52 minit di Westenergie Sporthalle.
Pemain pada ranking ketujuh dunia dan pilihan kelima kejohanan itu akan menentang Christo Popov pada pusingan kedua esok, selepas perseorangan Perancis itu menewaskan Misha Zilberman dari Israel 21-19, 21-18.
Sementara itu, beregu wanita nombor satu kebangsaan Pearly Tan-M.Thinaah, yang diletakkan sebagai pilihan kelapan, dikejutkan dengan kekalahan awal selepas kecundang pada beregu bukan pilihan dari Scotland Julie Macpherson-Ciara Torrance 17-21, 14-21.
Julie-Ciara sekali lagi akan menentang beregu Malaysia pada pusingan seterusnya, kali ini berdepan Vivian Hoo-Lim Chiew Sen selepas menewaskan gandingan Estonia iaitu Kati-Kreet Marran-Helina Ruutel, 21-15, 22-20 semalam.
Pasangan beregu lelaki profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, yang terpaksa berdepan aksi sengit dalam set penentuan, berjaya mengatasi M.R. Arjun-Dhruv Kapilla dari India, 21-13, 20-22, 21-19.
Yew Sin-Ee Yi akan menentang Ben Lane-Sean Vendy selepas beregu England itu menewaskan Alexander Dunn-Scott Hall dari Scotland 21-16, 21-19.
Sementara itu, dua pasangan beregu campuran Malaysia iaitu Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei gagal mara ke pusingan kedua selepas tewas kepada lawan masing-masing dalam pusingan pertama.
Pang Ron-Yee See kalah 18-21, 16-21 kepada pasangan Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dari Thailand manakala beregu pilihan kelima Marcus Ellis-Lauren Smith dari England pula menewaskan Tang Jie-Yen Wei, 21-12, 13-21, 23-21.
Supak-Supissara akan bertemu Marcus-Lauren dalam pusingan kedua esok.
-- BERNAMA