Terbuka Jepun: Tewas kepada Nishimoto, Zii Jia kian dibelenggu badi pusingan pertama
Astro Arena
Julai 26, 2023 14:08 MYT
Julai 26, 2023 14:08 MYT
PERSEORANGAN lelaki utama negara, Lee Zii Jia, kian dibelenggu kekalahan dalam pusingan awal apabila tewas kepada wakil tuan rumah, Kenta Nishimoto, dalam aksi pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Gimnasium Yoyogi, Tokyo sebentar tadi.
Ini merupakan kekalahan pusingan pertama kali keempat berturut-turut buat perseorangan profesional berkenaan selepas melalui nasib sama dalam Terbuka Singapura, Terbuka Indonesia dan Terbuka Korea Selatan musim ini.
Zii Jia pada awalnya menerbitkan keyakinan apabila bangkit daripada ketinggalan 8-13 untuk menyamakan kedudukan 17-17 sebelum memenangi set pertama 22-20.
Bagaimanapun, dia yang pada satu ketika selesa mendahului 8-2 dalam set kedua, membenarkan lawan untuk bangkit di pertengahan saingan untuk akur terpaksa melewati set penentuan selepas tewas 17-21.
Pemain di ranking ke-18 dunia itu kemudian ketinggalan jauh 4-11 dalam set penentuan dan biarpun berhasil menyamakan kedudukan 15-15, nasib jelas tidak menyebelahi Zii Jia untuk sekali lagi tersingkir awal dengan kekalahan 19-21 selepas bertarung selama 89 minit.