Terbuka Jepun: Chong Wei kecundang di tangan Axelsen

Astro Arena
September 24, 2017 18:10 MYT
Hasrat Datuk Lee Chong Wei untuk menjulang gelaran Siri Super Terbuka Jepun buat kali ketujuh musnah sebaik tunduk di tangan Viktor Axelsen. - Gambar fail/BERNAMA
Hasrat Datuk Lee Chong Wei untuk menjulang gelaran Siri Super Terbuka Jepun buat kali ketujuh musnah sebaik tunduk 14-21, 21-19, 14-21 di tangan juara dunia, Viktor Axelsen, sekaligus memberikan pemain Denmark itu gelaran pertama, di Tokyo, sebentar tadi.
Tamparan kecundang dalam pusingan pertama Kejohanan Dunia pada bulan lalu masih memberi kesan buat jaguh negara ini, dan Siri Super Terbuka Jepun menjadi pentas terbaik buatnya kembali menemui sentuhan.
Malangnya, perlawanan akhir menentang Axelsen -- yang mula mencipta sensasi dengan meriah gangsa dalam Sukan Olimpik Rio tahun lalu dan seterusnya menjuarai Kejohanan Dunia Glasgow bulan lalu -- menyaksikan Chong Wei bergelut mencari rentak permainan.
Chong Wei gagal memberi tentangan buat Axelsen pada set pertama sebelum tewas 14-21. Namun, pemain negara itu seterusnya tenang mengheret perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 21-19 biarpun pada suatu ketika kedudukan terikat 19-19.
Pada set ketiga, Axelsen membuktikan dirinya bakal menjadi kuasa baru badminton dengan menguasai permainan 19-10, sebelum memastikan juara enam kali kejohanan, Chong Wei, terpaksa akur sekadar menjadi naib juara dengan kekalahan 14-21.
Ini merupakan kejuaraan ketiga Axelsen pada musim ini, selepas mengungguli Terbuka India pada Mac lalu.
Ikon sukan badminton dunia, Chong Wei, kini berada di ranking ke-7 dunia dan telah menjuarai kebanyakan kejohanan berprestij dunia.
#badminton #Lee Chong Wei #Terbuka Jepun #Tokyo #viktor axelsen
;