Terbuka Jepun: Akhiri kemarau 22 tahun, Sze Fei-Izzuddin muncul juara
Astro Arena
Ogos 25, 2024 12:00 MYT
Ogos 25, 2024 12:00 MYT
WAKIL tunggal Malaysia di final, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, menamatkan perjalanan indah sebagai juara Terbuka Jepun di Yokohama Arena, sebentar tadi.
Selepas cemerlang menewaskan gandingan dari Indonesia, Leo Rolly Carnando/Bagas Maulana, di separuh akhir, Sze Fei-Izzuddin ke final untuk bertemu beregu Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae, yang merupakan pilihan ketiga kejohanan.
Set pertama menyaksikan beregu negara saling menguji kemampuan juara dunia itu, mengutip mata demi mata sehingga mereka terikat 18-18.
Sze Fei-Izzuddin berjaya menemui ruang untuk mendahului 20-18 sebelum menang set pertama 21-19 dalam pertembungan yang melewati 21 minit.
Dalam set berikutnya Min-hyuk-Seung-jae cuba mempertingkatkan mutu permainan bagaimanapun setiap langkah berjaya ditandingi Sze Fei-Izzuddin sehingga berjaya mendahului 15-11.
Beregu negara terus menjarakkan kedudukan apabila mereka mengutip mata untuk mendahului 19-14, sebelum menoktahkan kemenangan 21-15.
Sze Fei-Izzuddin membawa pulang AS$62,900 (RM275,226), wang kemenangan terbesar mereka setakat ini.
Untuk rekod, ini merupakan kejohanan terakhir beregu ini di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas mereka memilih untuk bergerak sebagai pemain profesional bermula September ini. -- Stadium Astro