Terbuka Itali: Djokovic tersingkir di tangan Rune dalam suku akhir
Astro Arena
Mei 18, 2023 11:10 MYT
Mei 18, 2023 11:10 MYT
HOLGER Rune mengejutkan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Tenis Terbuka Itali awal pagi tadi.
Pemain Denmark berusia 20 tahun itu meraih kemenangan 6-2, 4-6, 6-2 ke atas juara bertahan berkenaan dalam keadaan hujan lebat di Rome.
Rune, yang merupakan pemain pilihan ketujuh kejohanan itu, memenangi set pertama hanya dalam tempoh 39 minit sebelum Djokovic kelihatan terpaksa menerima rawatan pada awal set kedua dan keadaan cuaca memaksa perlawanan itu dihentikan.
Pemain pilihan utama, Djokovic, yang berhempas pulas menewaskan wakil Britain, Cameron Norrie, dalam pusingan keempat, menyamakan kedudukan dengan memenangi set kedua selepas perlawanan itu kembali bersambung tetapi aksi dalam set ketiga kembali menjadi milik Rune.
Rune, yang melakukan penampilan pertama kejohanan itu dalam edisi kali ini, membuka saingan set penentuan dengan mendahului 4-0 sebelum menamatkannya dengan kemenangan kedua berturut-turut ke atas jaguh Serbia berkenaan.