Terbuka Indonesia: Sze Fei-Nur Izzuddin tempah pertemuan dengan Lee Yang-Chi Lin
Astro Arena
November 23, 2021 15:35 MYT
November 23, 2021 15:35 MYT
TIGA beregu negara antara yang terawal untuk melolosi peringkat 32 Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Bali, sebentar tadi.
Beregu wanita daripada kem Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Pearly Tan-M Thinaah, diberi tentangan hebat oleh wakil Sepanyol, Clara Azurmendi-Beatriz Corrales, tetapi masih mampu menang dengan straight set 22-20, 21-19.
Begitupun, dalam perhitungan lebih awal menyaksikan juara Sukan Olimpik Tokyo dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin, tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan beregu lelaki profesional negara yang baru dibentuk, Goh V Shem-Low Juan Shen, 21-14, 21-16.
Sementara itu, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang mudah menundukkan beregu Perancis, Christo Popov-Toma Popov, 22-20, 21-10 bakal menghadapi tugas perit apabila perlu berhitung dengan Lee Yang-Chi Lin dalam pusingan 16 esok.
Pertembungan sesama sendiri dua beregu campuran profesional Malaysia pula berpihak kepada Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang mengecewakan Goh Soon Huat-Shevon Lai, 22-20, 21-17.