Terbuka Indonesia: Kian Meng-Pei Jing tersingkir di separuh akhir

Bernama
Jun 8, 2024 11:53 MYT
Pasukan lawan yang merupakan pilihan kelima kejohanan hanya mengambil masa 39 minit untuk menumpaskan Kian Meng-Pei Jing 16-21,18-21. - Gambar fail
JAKARTA: Langkah beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terhenti di separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2024 selepas disingkirkan gandingan China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Istora Senayan di sini menyaksikan pasukan lawan yang merupakan pilihan kelima kejohanan hanya mengambil masa 39 minit untuk menumpaskan Kian Meng-Pei Jing 16-21,18-21.
Mengulas mengenai perlawanan, Kian Meng-Pei Jing mengakui pasukan lawan sememangnya sukar diatasi apabila mereka berjaya mendominasi untuk terus mendahului mata sehingga tamat perlawanan.
"Kami telah memberikan yang terbaik dan rasa pihak lawan bermain lebih baik kerana sentiasa mengawal rentak dan kekal berada di hadapan," kata mereka kepada pemberita selepas perlawanan di sini hari ini.
Kian Meng-Pei Jing bagaimanapun berpuas hati dengan prestasi ditampilkan mereka di kejohanan berkenaan dan mahu bersiap sedia bagi Kejohanan Terbuka Australia yang akan berlangsung minggu depan.
"Matlamat kami nanti adalah untuk mengekalkan momentum semasa dan mencapai keputusan yang lebih baik," tambah mereka.
-- BERNAMA
#Terbuka Indonesia #beregu campuran profesional negara #Tan Kian Meng #Lai Pei Jing