Terbuka Indonesia: Chong Wei, Chan-Goh ke suku akhir

Bernama
Jun 13, 2013 07:18 MYT
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying berjaya mara ke suku akhir Kejohanan Siri Super Premier Terbuka Indonesia di Stadium Istora Gelora Bung Karno, Jakarta.
Pada saingan pusingan kedua hari ini, Chong Wei, selaku pilihan utama, dengan mudah menewaskan wakil India, Sai Praneeth B. dengan kemenangan 21-18 dan 21-12.
Pemain nombor satu dunia itu dijangka menerima tentangan daripada pemain veteran Thailand Boonsak Ponsana pada aksi suku akhir, hari ini.
Boonsak, selaku pilihan kelapan, mara ke suku akhir dengan mengalahkan pemain Jepun, Sho Sasaki dengan keputusan 21-13 dan 21-19.
Chan dan Goh yang merupakan pasangan kelima dunia pula mara selepas mengalahkan gandingan dari Korea Selatan, Yoo Yeon Seong dan Eom Hye Won dengan kemenangan 22-20 dan 21-16.
Mereka bagaimanapun bakal berdepan laluan getir selepas dijadualkan bertemu pasangan tuan rumah yang merupakan pilihan kedua kejohanan, Ahmad Tontowi dan Liliyana Natsir di peringkat suku akhir.
Ahmad dan Liliyana mara selepas mengalahkan rakan senegara, Fran Kurniawan dan Shendy Puspa Irawati dengan kemenangan 12-21, 21-12 dan 21-11.
Beregu utama negara Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong yang menjadi wakil tunggal negara dalam acara itu kalah 21-23 dan 15-21 kepada pasangan tuan rumah, Alvent Yulianto Chandra dan Markis Kido.
Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan dan beregu wanita.
#badminton #Lee Chong Wei #Terbuka Indonesia
;