Terbuka Indonesia: Aaron-Wooi Yik mara ke final
Bernama
Jun 17, 2023 00:15 MYT
Jun 17, 2023 00:15 MYT
JAKARTA: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya selangkah lagi untuk merangkul kejuaraan pertama musim ini selepas mengesahkan tempat di pentas final Terbuka Indonesia 2023 di sini, malam ini.
Pilihan kedua kejohanan itu berdepan dengan tekanan ribuan penonton di Stadium Istora Senayan dan ketinggalan set pertama sebelum bangkit menyingirkan beregu tuan rumah, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yacob Rambitan 12-21, 23-21, 21-13 dalam tempoh 57 minit di separuh akhir.
Aaron-Wooi Yik, beregu ranking ketiga dunia akan berdepan dengan beregu ranking keenam dunia dari India,Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty di pentas final, esok.
Gandingan India itu melangkah ke final selepas mengatasi pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, 17-21, 21-19, 21-18, dalam satu lagi aksi separuh akhir, hari ini.
Bagaimanapun, beregu negara dan juara dunia tahun lalu itu, perlu mengekalkan rekod bersih dalam lapan pertemuan dengan wakil India itu sebelum bergelar juara esok.
"Wooi Yik bermain bagus di set kedua dan membantu saya untuk lebih tenang dan yakin di set penentuan," kata Aaron kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Sementara itu, Wooi Yik menyifatkan perlawanan dengan lawan tuan rumah bukan mudah atau bernasib baik, tetapi sebaliknya menemui rentak untuk membawa persembahan ke tahap yang lebih tinggi.
-- BERNAMA