Terbuka Indonesia: Aaron-Wooi Yik ke suku akhir
Bernama
Jun 15, 2023 23:17 MYT
Jun 15, 2023 23:17 MYT
JAKARTA: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi satu-satunya wakil negara yang masih mengibarkan cabaran Malaysia di Terbuka Indonesia 2023.
Pasangan ketiga dunia itu melangkah ke suku akhir selepas mengetepikan lawan mereka dari Korea Selatan Choi Sol Gyu-Won Ho Kim 21-19, 21-16.
"Perlawanan tadi sangat mencabar tetapi kami terus berjuang dan fokus. Esok kami akan buat sehabis baik," kata Wooi Yik selepas perlawanan tersebut.
Dengan kemenangan itu, Aaron-Wooi Yik dijadual berdepan wakil Jepun, Akira Koga-Taichi Saito.
Bagaimanapun, nasib berbeza buat gandingan profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang terkandas selepas tewas kepada wakil tuan rumah Leo Rolly-Carnando-Daniel Marthin 20-22, 17-21.
Beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing juga gagal ke pusingan seterusnya apabila tunduk kepada pasangan tuan rumah Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas 17-21, 16-21.
-- BERNAMA