Terbuka India: Malaysia jamin slot ke final beregu campuran
Bernama
Januari 14, 2022 21:35 MYT
Januari 14, 2022 21:35 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia menjamin tempat ke final beregu campuran kejohanan badminton Terbuka India selepas dua pasangan negara bakal berentap dalam aksi separuh akhir esok.
Pasangan beregu campuran profesional negara yang juga pilihan utama kejohanan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan menentang bekas junior dalam pasukan kebangsaan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei pada perlawanan separuh akhir di K. D. Jadhav Indoor Hall, New Delhi.
Ini akan menjadi pertembungan pertama antara pemain nombor 10 dunia Kian Meng-Pei Jing dengan pemain nombor 40 dunia Tang Jie-Yen Wei dalam kejohanan kompetitif.
Pada suku akhir hari ini, Kian Meng-Pei Jing menewaskan gandingan Rusia Konstantin Abramov-Anastasiia Akchurina 21-10, 21-14, manakala pemain pilihan ketiga Tan Jie-Yen Wei mengetepikan pemain tuan rumah Venkat Prasad-Juhi Dewangan 21-10, 21-13.
Kian Meng mengambil keputusan keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Februari tahun lepas selepas Pei Jing, dan empat pemain senior lain digugurkan daripada pasukan kebangsaan.
Tang Jie, 24, gembira dapat mara ke separuh akhir pertamanya dalam acara Super 500 Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) (peringkat ketiga) itu.
"Kami dapat rehat semalam selepas lawan menarik diri (K Sai Pratheek-Gayatri Gopichand Pullela dari India), jadi kami dapat membuat persediaan untuk perlawanan hari ini.
"Kami gembira dapat mara ke separuh akhir pertama dalam acara 500. Kian Meng-Pei Jing adalah senior kami, telah berlatih dengan mereka selama bertahun-tahun, kami tahu kelemahan masing-masing. Jadi, kami perlu memikirkan pelan permainan terbaik kami untuk esok," katanya.
Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu campuran baharu negara iaitu Chan Peng Soon, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, dan Valeree Siow apabila tewas 14-21, 13-21 ke atas pilihan kedua kejohanan Rodion Alimov-Alina Davletova dari Rusia pada aksi suku akhir.
"Lawan kami hari ini sangat berkualiti. Secara keseluruhannya, saya rasa gandingan kami memuaskan walaupun kami perlu menambah baik lagi kombinasi jika ingin mencabar pasangan teratas," kata Peng Soon.
Dalam acara beregu lelaki, pasangan nombor 11 dunia Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dengan mudah menewaskan beregu India Ishaan Bhatnagar-Sai Pratheek 21-7, 21-7 dalam masa 19 minit sahaja, tetapi perlu menggalas tugas berat esok menentang gandingan nombor dua dunia Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan dari Indonesia.
Pemain perseorangan lelaki yang semakin menyerlah Ng Tze Yong mempamerkan satu lagi aksi, kali ini menyingkirkan Nhat Nguyen dari Ireland 9-21, 21-8, 21-16 selepas perlawanan 70 minit, dan akan berhadapan pilihan ketiga Lakshya Sen dari India untuk merebut tempat ke final.
Khamis lepas, Tze Yong juga terpaksa bangkit daripada kekalahan perlawanan pertamanya sebelum menewaskan pemain Perancis Lucas Claerbout 20-22, 21-15, 21-18 pada pusingan kedua.
Bagaimanapun, nasib berbeza dialami pasangan wanita bebas negara Vivian Hoo-Lim Chiew Sien selepas tewas 19-21, 21-11,16-21 di tangan gandingan Rusia Anastasiia Akchurina-Olga Morozova dalam acara beregu wanita.
Mengenai perkembangan lain, BWF menerusi kenyataan mengumumkan pembatalan kejohanan Masters Sepanyol yang dijadualkan dari 1 hingga 6 Mac, bagaimanapun baki kalendar 2022 tidak berubah, setakat ini.
"Persekutuan Badminton Sepanyol membuat kesimpulan bahawa mereka tidak dapat mengadakan kejohanan itu seperti dirancang. BWF dengan kerjasama bersama tuan rumah Jelajah Dunia tetap gigih membuat persediaan untuk kejohanan akan datang walaupun landskap COVID-19 terus berubah," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA