Terbuka India: Kian Meng-Pei Jing tempah slot ke pusingan kedua
Bernama
Januari 11, 2022 20:51 MYT
Januari 11, 2022 20:51 MYT
KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional Malaysia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menumpaskan pasangan tuan rumah Pratik Ranade-Kanika Kanwal untuk layak ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka India 2022, hari ini.
Beregu pilihan utama kejohanan itu dengan mudah menundukkan Pratik-Kanika 21-10, 21-11 dalam perlawanan yang berlangsung di K.D Jadhav Indoor Hall, New Delhi.
Beregu nombor 10 dunia itu akan berhadapan pasangan India, Siddharth Jakar-Megha Morchana Bora selepas rakan senegara mereka Manjit Singh Khwairakpam-Navdha Manglam memberikan kemenangan tanpa bertanding dalam pertemuan pusingan pertama.
Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Peck Yen Wei juga memulakan kempen mereka dengan langkah kanan dan mengambil masa 22 minit untuk menewaskan dengan mudah M.R Arjun-Treesa Jolly dari India, 21-11, 21-6.
Tang Jie-Yen Wei, beregu pilihan ketiga akan berdepan Sai Pratheek K-Gayatri Gopichand Pullela dalam pusingan seterusnya selepas pasangan India itu mengalahkan rakan senegara, Ishan Bhatnagar-Tanisha Crasto, 21-16, 16-21, 21-17.
Sementara itu, pemain perseorangan profesional negara Cheam June Wei yang berada pada ranking ke-70 dunia tersungkur awal kepada wakil Rusia, Sergey Sirant, 20-22, 18-21.
Keputusan lain
--------------------
(Nota: Malaysia melainkan dinyatakan)
Perseorangan lelaki:
Soong Joo Ven mn Chirag Sen (IND) 21-8, 21-7
Beregu lelaki:
Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mn Ravikrishna PS-Sankar Prasad Udayakumar (IND) 21-19, 21-14
M. R. Arjun-Dhruv Kapila (IND) mn Nur Mohd Azriyn Ayub-Lim Khim Wah 18-21, 21-17, 21-15
-- BERNAMA