Terbuka India: Dua wakil negara kandas di separuh akhir

Bernama
Januari 18, 2025 19:01 MYT
Soon Huat-Shevon Lai Jemie ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan ranking kedua dunia dari China, Jiang Zhenbang-Wei Yaxin. - Foto Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Hasrat beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie untuk melangkah ke peringkat akhir Kejohanan Badminton Terbuka India 2025 tidak kesampaian selepas tewas dalam aksi separuh akhir hari ini.
Soon Huat-Shevon Lai Jemie ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan ranking kedua dunia dari China, Jiang Zhenbang-Wei Yaxin dalam pertarungan selama 51 minit yang diheret hingga ke set penentuan, berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi, New Delhi.
Pasangan suami isteri itu memenangi set pertama 21-18, tetapi beregu China berjaya bangkit untuk meraih kemenangan 21-19, 21-9.
Dalam pada itu, nasib sama turut menimpa beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah dalam pertemuan menentang Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan apabila tewas 18-21, 18-21 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
"Masalah yang sama ialah tiada konsistensi... masih terlalu tergesa-gesa untuk mematikan pukulan lawan dan tidak benar-benar menikmati proses itu. Itulah kesilapan yang selalu kami lakukan berulang kali," kata Pearly menerusi audio yang dikongsikan oleh Persekutuan Badminton (Dunia (BWF).
-- BERNAMA
#Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie #Badminton Terbuka India #Pearly Tan-M Thinaah #Separuh Akhir
;