Terbuka India: Aaron-Wooi Yik wakil tunggal Malaysia di separuh akhir

Bernama
Januari 19, 2024 00:07 MYT
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi wakil tunggal negara mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir Terbuka India di New Dehli, pada Jumaat. - Foto Facebook BAM
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi wakil tunggal negara mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir Terbuka India di New Dehli, hari ini.
Beregu nombor empat dunia itu menewaskan pilihan kelapan kejohanan, Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China 21-19 dan 21-19 pada aksi suku akhir selama 45 minit di Dewan Tertutup K.D Jadhav.
Menanti mereka di separuh akhir esok adalah pemenang perlawanan antara beregu nombor dua dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dengan beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Sementara itu, nasib berbeza di peringkat suku akhir menimpa beregu campuran profesional negara apabila Goh Soon Huat- Shevon Lai Jemie tewas 13-21, 13-21 di tangan pilihan kelima kejohanan, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China.
Pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia pula ditunjukkan jalan keluar oleh pemenang China Masters 2023, Kodai Naraoka dari Jepun 21-13, 9-21 dan 16-21 pada aksi suku akhir.
-- BERNAMA
#Terbuka India #badminton #Aaron Chia #Soh Wooi Yik
;