Terbuka India: Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah mara ke separuh akhir
Bernama
Januari 20, 2023 21:54 MYT
Januari 20, 2023 21:54 MYT
NEW DELHI: Dua beregu Malaysia - Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah - mara ke separuh akhir masing-masing dalam acara lelaki dan wanita Terbuka India 2023 pada Jumaat.
Aaron-Wooi Yik menewaskan rakan senegara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-17, 21-11 dalam pertembungan suku akhir selama 31 minit di Dewan Tertutup K. D. Jadhav.
Mereka ternyata gembira apabila berjaya mengesahkan slot ke separuh akhir.
"Kami bermain dengan baik hari ini. Kami mendahului dari awal dan saya rasa kami beraksi cukup baik," kata Aaron kepada Bernama.
Pasangan nombor tiga dunia itu akan berhadapan sama ada dengan juara Terbuka Malaysia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia atau gandingan Jerman Mark Lamsfuss-Germarvin Seidel.
Sementara itu, pasangan beregu wanita negara juga tidak menghadapi masalah untuk menundukkan gandingan Jepun Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-13, 21-13.
Pearly berkata: "Mereka (pasangan Jepun) ialah pemain yang bagus. Bukan mudah untuk dapatkan mata menentang mereka".
Menjelang pertembungan separuh akhir, Thinaah berkata: "Kami tidak mahu sebarang tekanan. Kami hanya mahu beraksi lebih baik daripada perlawanan hari ini".
Pada separuh akhir esok, pasangan nombor lapan dunia itu berkemungkinan menentang gandingan dari Thailand Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard atau Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun.
-- BERNAMA