Terbuka India 2025: Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah mara pusingan 16 terbaik
Bernama
Januari 16, 2025 09:20 MYT
Januari 16, 2025 09:20 MYT
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke pusingan kedua Terbuka India 2025, selepas mencatat kemenangan ke atas pasangan bukan pilihan dari Thailand Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul, dalam perlawanan sengit selama 56 minit awal pagi tadi.
Pada perlawanan pusingan 32 terbaik di Indira Gandhi Sports Complex menyaksikan Aaron-Wooi Yik tewas pada set pertama 20-22, namun bangkit untuk memenangi dua set berikutnya dengan keputusan 21-16 dan 21-18 ke atas pasangan yang berada pada ranking ke-31 dunia itu.
Pasangan negara itu akan berhadapan beregu China Xie Hao Nan-Zheng Wei Han, yang berada pada ranking ke-39 dunia pada pusingan kedua hari ini.
Aaron-Wooi Yik pernah tewas kepada pasangan tersebut pada pertemuan terdahulu di Kejohanan Berpasukan Badminton Asia 2024.
Selain itu, beregu utama wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah turut melakar kemenangan apabila menundukkan pasangan tuan rumah Prerana Alvekar-Mrunmayee Despande 21-8, 21-19 dalam masa 27 minit.
Sebagai pilihan ketiga kejohanan, Pearly-Thinaah bakal menghadapi cabaran getir apabila bertemu pasangan China Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian buat kali pertama pada pusingan 16 terbaik hari ini.
-- BERNAMA