Terbuka Hylo: Lee Zii Jia bergelut ke pusingan kedua
Astro Arena
November 4, 2021 09:46 MYT
November 4, 2021 09:46 MYT
PEMAIN perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, terpaksa berhempas pulas sebelum mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Hylo dengan menewaskan pemain bukan pilhan dari Sepanyol, Pablo Abian, di Saarbrucken, Jerman pada Rabu.
Turun selaku pilihan kedua, wakil negara itu bermula baik untuk memenangi set pembukaan 21-11.
Bagaimanapun, meskipun menguasai pertengahan set kedua dengan mendahului 17-13, Zii Jia kemudian membenarkan lawan untuk menyamakan kedudukan sebelum akur tewas 21-23 untuk Abian mengheret perlawanan ke set penentuan.
Dalam set ketiga, pemain berusia 23 tahun itu sekali lagi membenarkan lawan menyamakan kedudukan selepas mendahului 19-15 sebelum kembali memberikan tumpuan penuh untuk menamatkan pertarungan selama 54 minit itu dengan kemenangan 24-22.
Seterusnya, Zii Jia akan bertemu pemain Ireland, Nhat Nguyen, dalam pusingan kedua hari ini.
Keputusan lain:
Beregu lelaki:
Ong Yew Sin-Teo Ee Yi kk Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 12-21, 19-21
Goh V Shem-Low Juan Shen kk Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-19, 19-21, 15-21
Beregu wanita:
Vivian Hoo-Lim Chiew Sien mn Alexandra Boje-Mette Poulsen 21-23, 21-18, 21-17
Beregu campuran:
Tan Kian Meng-Lai Pei Jing kk Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 16-21, 17-21