Terbuka Hong Kong, Macau batal

Sinar Harian
September 1, 2022 06:30 MYT
Terbuka Hong Kong yang dijadual berlangsung di Kowloon dari 8 hingga 13 November serta Terbuka Macau (1 hingga 6 November) dibatalkan.
KEJOHANAN badminton Terbuka Hong Kong yang dijadualkan pada November ini dibatalkan untuk tahun ketiga berturut-turut berikutan pandemik COVID-19 yang masih berterusan dan kerumitan langkah kuarantin dalam bandar.
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) ketika mengesahkan perkara itu berkata, Persatuan Badminton Hong Kong (HKBA) bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan kelulusan khas bagi melonggarkan beberapa sekatan untuk peserta.
“Bagaimanapun, dengan sekatan kuarantin masih diperlukan untuk semua pelawat luar negara, HKBA menyimpulkan tiada pilihan lain selain membatalkan kejohanan itu,” kata BWF dalam satu kenyataan pada Khamis.
Untuk rekod, Terbuka Hong Kong merupakan kejuaraan berstatus Super 500, dijadualkan berlangsung di Kowloon dari 8 hingga 13 November.
Terbuka Macau yang berstatus Super 300 dijadualkan pada 1 hingga 6 November juga telah dibatalkan untuk tahun ketiga berturut-turut disebabkan faktor sama.
Persekutuan Badminton Macau (BFM) dalam satu kenyataan berkata, kejohanan itu tidak dapat dianjurkan tahun ini kerana sekatan perjalanan dan kemasukan ke wilayah itu serta langkah-langkah pencegahan kesihatan yang sedang dilaksanakan. -Sinar Harian
#BWF #badminton #terbuka hong kong #Terbuka Macau
;