Terbuka Hong Kong: Jin Wei 'mandi peluh' sebelum mara ke separuh akhir
Bernama
September 15, 2023 23:01 MYT
September 15, 2023 23:01 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei terpaksa 'bermandi peluh' sebelum mengejutkan pilihan keenam dari China, Han Yue untuk mara ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Hong Kong, hari ini.
Pada perlawanan berlangsung selama 52 minit di Hong Kong Coliseum, Kowloon itu, Jin Wei yang menghuni ranking ke-34 dunia dikerah beraksi tiga set sebelum menewaskan pemain ranking kesembilan dunia berkenaan, 12-21, 21-17, 21-18.
Menanti bekas juara remaja dunia itu di separuh akhir ialah seorang lagi wakil China Zhang Yi Man yang mengetepikan cabaran rakan senegara Wang Zhi Yi, 21-17 dan 21-17.
Mengiringi kemaraan Jin Wei ialah pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong yang menewaskan wakil Denmark, Magnus Johannesen 21-18 dan 21-12 dalam aksi suku akhir.
Namun, tugas sukar menanti pemain di ranking ke-20 dunia itu apabila dijadual bertemu pilihan kelima dari Indonesia, Jonatan Christie yang mara selepas menewaskan pemain Taiwan, Lee Chia Hao 21-19, 21-18.
Turut mara ke separuh akhir beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang mudah mengetepikan cabaran gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 21-10 dan 21-18.
Pilihan keempat kejohanan itu akan bertemu pasangan tuan rumah, Tang Chun Man-Tse Ying Suet yang mengejutkan pilihan kedua dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 19-21, 21-9, 21-11.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi beregu lelaki negara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang terpaksa menamatkan perjuangan mereka di suku akhir apabila tewas kepada pilihan kelapan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin 19-21, 18-21.
-- BERNAMA